Wednesday, September 1, 2010


 






Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII  College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA  merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.
Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.

Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan  kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British  Carpenters Society.

Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.
 
Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk  membolehkannya  bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan  Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.

Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.

Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.
 
Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.
Kemenangan  Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn  atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.

Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.

Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan  kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.

Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.

Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.

Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.

Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.

Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia).


Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia.

Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.

Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang  lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.

Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.

Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus 'perniagaan' sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan.

Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.

Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.

Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali.

BAPA PEMBANGUNAN : TUN ABDUL RAZAK

Dipetik dari tulisan: Mohamed Yosri Mohamed Yong

ALLAHYARHAM TUN ABDUL RAZAK BIN TUN HUSSIEN

Perdana Menteri Malaysia Kedua (1970-1976)
Bapa Pembangunan Malaysia

ERA


Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik.
Tun Abdul Razak dikenali sebagai Bapa Pembangunan bagi menghargai segala sumbangannya di dalam pembangunan kebangsaan dan luar bandar.

Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan seorang negarawan yang telah mengabadikan kehidupannya untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia oleh rakyat yang menyanjunginya yang juga mengenali beliau sebagai Tun Razak. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922.

BAPA PERPADUAN : TUN HUSSIEN ONN






Dipetik dari Tulisan Mohamed Yosri Mohamed Yong tahun 2002

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (Tun Hussein Onn)
Perdana Menteri Ketiga (1976-1981)
"Penyambung Warisan Yang Terbilang"

Era

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah anakanda kepada Allahyaraham Dato' Onn bin Jaafar yang memimpin ke arah penubuhan UMNO, malah Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn sendiri adalah salah seorang pengasas UMNO.

BIODATA

Nama Penuh : Hussein bin Dato'Onn
Tarikh Lahir : 12 Februari 1922
Tempat Lahir : Johor Bahru
Ibu Bapa : Dato' Onn Jaafar dan Datin Halimah
Tempoh Berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia : 5 Tahun
Tarikh Meninngal Dunia : 29 Mei 1990
Tempat Persemadian : Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur
Pendidikan Awal : 1) English College(kini Maktab Sultan Abu Bakar),Johor Bharu
                              2) Menamatkan Senior Cambridge selepas Perang Dunia
                                  meletus
Penglibatan dalam tentera : 1) Pasukan Tentera Johor(Johor MIlitary Forces)
                                              2) Latihan Ketenteraan di Tentera Sandhurst
                                                  Dehra Dun, India.
                                              3) Menyertai Rejimen Hyderabab ke-19
                                              4) Aktif dalam peperangan di Mesir,Iraq dan Syria

                              
Kemudiannya Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.
Semangat Allahyaraham Datuk Onn b Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Allahyaraham Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Disamping penglibatannya dalam politik, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Walau bagaimanapun penglibatan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Datuk Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958.
Sekembalinya ke tanah air Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau telah pun berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj Mohd Noah dan mempunyai 6 orang anak.Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Yang DiPertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Walaupun Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah sahaja pada Mei 1969.

Peranan Dan Sumbangan
Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Di bawah pentadbiran Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail.
Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973, merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Kepulangan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein ke Rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan seluruh negara. Berikutan itu dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada 1978 Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein khususnya dalam menggerakkan 'Dasar Ekonomi Baru'.
Sebagai seorang perwira, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn fasih tentang hal ehwal keselamatan. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi rantau Asia Tenggara ketika itu gempar ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan termashyurnya cita-cita 'Teori Domino' komunis. Semasa pentadbirannya usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat, telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan (intelligen) yang berjaya.
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang melayari Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketegahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru.
Walaupun pada masa itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pernah menjalani rawatan jantung pada awal 1981. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn berjaya melancarkan Rancangan Malaysia yang ke 4 pada bulan April 1981. Seperti bapanya, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil politik dan ekonominya. Sumbangan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh. Akibat kesihatan beliau yang merosot, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad pada 18 Julai 1981. Tetapi beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS.

Keistimewaan
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal-ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman ketenteraan menjadikan Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn memberi kebebasan akhbar dan majalah untuk memberi kritikan dan komentar dengan harapan ini akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur dan beliau disanjungi oleh masyarakat Malaysia sebagai seorang pemimpin.
Dalam sejarah, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai 'Penyambung Warisan Yang Terbilang'. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn juga dikenali sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia. Malah Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pula mewariskan kerajaan kepada Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh.
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 dalam usia 68 tahun di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara. Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.


Tuesday, August 31, 2010

BAPA KEMERDEKAAN : TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ



Nama :
Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Lahir :
08 Februari 1903, di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda).

Pendidikan :
1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar.
1916 - Penang Free School, Penang.
1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge.
1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.


Kerjaya :
1946 - Bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulim dan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KL dan Presiden Mahkamah Session Selangor.
1951 - Dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO.
1956 - Rombongan Merdeka ke London.
1957 - Merdeka. Perdana Menteri Pertama.
1962 - Rombongan ke London - Gagasan Malaysia.
1963 - Gagasan Malaysia - 16.09.1963.
1970 - Bersara dari Politik.



06 Disember 1990 : : Tunku kembali ke rahmatullah. Seluruh Negara berkabung atas pemergian Almarhum. Seluruh dunia menghantar Ucap Takziah. Atas wasiat Almarhum, jenazah disemadikan di Makam Di Raja Langgar : :